Pengenalan


  1. Latihan adalah satu usaha berterusan untuk membina kompetensi berkaitan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada setiap pegawai dan kakitangan. Kompetensi dalam konteks ini merujuk kepada sikap, pengetahuan, kemahiran dan tingkahlaku yang kritikal untuk menjadikan seseorang pekerja itu kakitangan yang cemerlang dan berkualiti.

  2. Cawangan Latihan dan Kompetensi (CLK) merupakan salah satu cawangan di bawah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Cawangan Latihan dan Kompetensi ini mengendalikan kursus-kursus bagi pegawai dan kakitangan yang berkhidmat di negeri Selangor dan urusan-urusan peperiksaan Jabatan Perkhidmatan Perkhidmatan Awam Malaysia serta peperiksaan jabatan seperti peperiksaan perkhidmatan Penghulu, Pembantu Penguatkuasa, Penolong Pegawai Penguatkuasa dan Penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

  3. Objektif Cawangan Latihan dan Kompetensi adalah memastikan jabatan-jabatan mempunyai sumber tenaga yang optima, terlatih, berwibawa dan berwawasan melalui program-program latihan yang disediakan. Oleh yang demikian, berdasarkan kepada Sasaran Kerja Tahunan (SKT) Cawangan Latihan dan Kompetensi, perancangan perlaksanaan latihan bagi setiap tahun adalah sebanyak 60 buah kursus. Prosedur kerja sediaada adalah dengan perlaksanaan secara manual dengan dibantu kakitangan-kakitangan cawangan yang minima.

  4. Pelaksanaan struktur latihan yang meliputi semua skim dan klasifikasi perkhidmatan yang akan melalui lima peringkat berikut :-

    1. Peringkat Pra Penempatan
      • Latihan diperingkat pra penempatan dilaksanakan kepada anggota perkhidmatan awam yang baru dilantik secara tetap tetapi belum menerima penempatan bertugas.
    2. Peringkat Asas
      • Latihan Peringkat Asas dilaksanakan kepada semua anggota perkhidmatan awam yang berkhidmat dari awal perlantikan sehingga tempoh tiga tahun.
    3. Peringkat Pertengahan
      • Peringkat ini melibatkan pembangunan kompetensi dan juga peningkatan kompetensi kepada anggota yang berkhidmat tiga hingga sepuluh tahun.
    4. Peringkat Lanjutan
      • Peringkat ini melibatkan anggota yang telah berkhidmat lebih daripada sepuluh tahun bertujuan mengukuhkan kompetensi.
    5. Peringkat Peralihan
      • Peringkat ini melaksanakan latihan kepada anggota yang akan meninggalkan perkhidmatan dalam tempoh dua tahun sebelum bersara.